PRK Ayer Kuning: BN usaha tawan pengundi atas pagar

PRK Ayer Kuning: BN usaha tawan pengundi atas pagar

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata anak muda tidak boleh dibiar terus jadi mangsa mainan persepsi politik.

Mohamad Yusri Bakir n mohamad hasan tok mat
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan (kanan) bersama calon BN PRK Ayer Kuning Mohamad Yusri Bakir di PDM Batu Tiga, Tapah, hari ini. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Barisan Nasional (BN) akan berusaha menawan sokongan pengundi ‘kelabu’ atau atas pagar terutama dalam kalangan anak muda pada PRK Ayer Kuning 26 April ini.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata usaha itu memerlukan pendekatan khusus menerusi sesi dialog dan penerangan yang telus berhubung isu-isu semasa serta hala tuju parti.

“Anak muda tidak boleh dibiarkan terus keliru atau jadi mangsa kepada mainan persepsi politik yang tidak berasas,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau gerak kerja jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga.

Sementara itu, Mohamad berkata, gerak kerja parti pada kempen PRK, yang masuk hari keenam hari ini, berjalan lancar dengan usaha menyantuni seramai mungkin pengundi sedang giat dijalankan.

Katanya, setiap PDM ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan jentera parti dapat mengurus kempen dengan teratur dan berkesan.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, iaitu 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohamad Yusri Bakir, Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.