10 PDM Ayer Kuning kembali ke BN, kata Zahid

10 PDM Ayer Kuning kembali ke BN, kata Zahid

Sebanyak 11 pusat daerah mengundi pada PRU 2022 dimenangi lawan.

Ahmad Zahid Hamidi
Zahid Hamidi berkata, kemenangan BN isyarat kukuh kerajaan perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dengan baik.
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata kejayaan mengekalkan Ayer Kuning lebih manis apabila 10 daripada 11 pusat daerah mengundi (PDM) yang tumpas kepada pembangkang pada PRU 2022 kini kembali dikuasai Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga pengerusi BN, berkata kemenangan calon BN Yusri Bakir, isyarat kukuh kerajaan perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dengan baik.

“Lebih manis lagi, saya dimaklumkan daripada 11 PDM yang tewas kepada pembangkang pada PRU yang lalu, 10 daripadanya kini kembali semula ke pangkuan BN.

“Kemenangan ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai. Mereka menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa,” katanya dalam catatan di X.

Katanya, kemenangan BN juga merupakan kesinambungan legasi bekas Adun, Ishsam Shahruddin, yang menabur bakti dengan penuh dedikasi.

Zahid turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh jentera BN, khususnya Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan parti komponen kerajaan perpaduan.

Yusri menang dengan kelebihan 5,006 undi, menewaskan pencabar Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Secara keseluruhan, setiausaha Umno Tapah itu peroleh 11,065 undi, sementara Muhaimin 6,059 undi dan Bawani 1,106 undi.

Peratusan keluar mengundi kali ini mencapai 58.07%, berbanding 74.85% pada PRU 2022.

Pada PRU 2022, Ishsam Shahruddin mempertahankan kerusi tersebut dengan kelebihan 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru, menewaskan pencabar dari Pakatan Harapan, PSM (Parti Sosialis Malaysia), dan Pejuang.

PH dan BN kemudian membentuk kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.