Armizan sah tak tanding PRN Sabah

Armizan sah tak tanding PRN Sabah

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata baliau mahu fokus sebagai Ahli Parlimen Papar.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata tiada keperluan untuk bertanding di peringkat DUN kerana sebagai menteri di peringkat persekutuan masanya terhad. (Gambar Bernama)
PAPAR:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRN Sabah akan datang, sebaliknya akan terus memberi fokus sebagai Ahli Parlimen Papar.

Beliau berkata selaku menteri di peringkat persekutuan dan Ahli Parlimen Papar, menjadikan masanya terhad dan tiada keperluan untuk bertanding di peringkat kerusi DUN.

“Saya baru dua tahun lebih jadi Ahli Parlimen dan biar saya tunaikan apa dimahukan rakyat di Papar. Kita banyak pemimpin hebat di Papar dan apa saya mahu, siapa yang menjadi Adun dapat bekerjasama baik dengan saya untuk membangunkan Papar.

“Selaku menteri saya juga kena jaga negeri-negeri lain. Saya mahu pasukan kuat, Adun (di kawasan Parlimen Papar) yang sentiasa boleh bekerjasama rapat dengan saya, agar kita mampu buat perubahan dan merealisasikan apa dimahukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni Papar di sini.

Sementara itu, Armizan yang juga timbalan setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata gabungan berkenaan, sudah lama bersedia untuk menghadapi PRN Sabah Ke-17.

“Di Papar, kita sudah banyak melakukan pelbagai program bersama rakyat dan saya lihat Adun yang tinggal di sini selalu bersama rakyat. Oleh itu saya yakin mereka boleh menang dalam PRN akan datang,” katanya.

Untuk rekod, tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen Papar ialah Limbahau, Kawang dan Pantai Manis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.