Polis ambil keterangan 12 saksi berkait wanita ke SPRM hilang

Polis ambil keterangan 12 saksi berkait wanita ke SPRM hilang

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata mereka yang dirakam keterangan termasuk ahli keluarga, pegawai SPRM dan peguam mangsa.

Pamela Ling Yueh
Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lepas untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang dijalankan.
KUALA LUMPUR:
Polis telah mengambil keterangan 12 saksi berhubung kes kehilangan Pamela Ling yang dipercayai diculik ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata mereka yang dirakam keterangan itu termasuk ahli keluarga, pegawai SPRM dan peguam mangsa bagi membantu siasatan.

“Setakat ini belum ada petunjuk atau perkembangan lokasi keberadaannya,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lepas untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan dan polis menerima laporan berhubung kehilangan pada 3.02 petang hari yang sama.

Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong memaklumkam kakaknya telah menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada 1.57 tengah hari mengatakan bahawa wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh keluarga dan peguamnya untuk menghubungi mangsa selepas 2 petang, panggilan telefon tidak dijawab.

Grab Malaysia juga mengesahkan bahawa perjalanan terbabit telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu.

Rusdi sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan tuntutan wang tebusan berkait kehilangan wanita dan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan seseorang dengan niat untuk mengurung secara salah.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Wan Siong melalui talian 012-8866799 atau bapa mangsa Ling Kie Yii 012-8867979.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.