21 sampel diambil kes 16 pelajar MRSM keracunan makanan

21 sampel diambil kes 16 pelajar MRSM keracunan makanan

Pengarah JKNJ Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata premis makanan disyaki ditutup bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988.

Seramai 16 pelajar MRSM Johor Bahru mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala dan demam Sabtu lalu disyaki akibat keracunan makanan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil 21 sampel selepas 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru mengalami keracunan makanan Sabtu lalu.

Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, berkata tujuh sampel makanan, enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga sampel pengendali makanan diambil ketika pemeriksaan dapur dewan makan serta kafeteria dilakukan pada hari sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima notifikasi.

“Premis makanan yang disyaki ditutup bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, PKD Johor Bahru masih menjalankan siasatan bagi mengesan pelajar lain mungkin bergejala dan mengenal pasti punca keracunan makanan.

Menurutnya, 16 pelajar mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala dan demam, dengan 11 orang menerima rawatan pesakit luar dan lima lagi tidak mendapat sebarang rawatan.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 16 pelajar MRSM Johor Bahru dilaporkan mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.

Exco Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak MRSM kira-kira 2 petang sebelum PKD Johor Bahru diarah mengambil tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.