Bangun sumber Malaysia Timur kekang tarif AS, kerajaan diberitahu

Bangun sumber Malaysia Timur kekang tarif AS, kerajaan diberitahu

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan- Kota Belud) berkata kerajaan pusat tidak boleh hanya bergantung kepada Pulau Pinang, Johor, dan Selangor depani kesan tarif.

Isnaraissah Munirah Majilis
Isnaraissah Munirah Majilis berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan tanah subur, sumber mineral pelbagai, dan potensi ekonomi hijau dan biru.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Sabah menyeru kerajaan persekutuan membangunkan sumber kekayaan Sabah dan Sarawak, termasuk memanfaatkan kedudukan Malaysia Timur sebagai lokasi strategik mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan – Kota Belud), berkata kerajaan persekutuan tidak boleh hanya bergantung kepada Pulau Pinang, Johor, dan Selangor mendepani tarif dikenakan.

Katanya, terlalu bergantung kepada hab ekonomi tertentu menjadikan negara terdedah, sambil memberi analogi ‘anak sulung sahaja sebagai pencari rezeki’.

“Dan, sekiranya berlaku pula kejadian yang tak diingini pada beliau, apa yang akan berlaku pada keluarga ini?

“Mengapa kita memandang jauh ke timur sana (Jepun dan Korea Selatan) sedangkan wilayah kita yang berada di timur yang luas dan kaya dengan sumber alam tidak diberikan perhatian khusus untuk dibangunkan?” katanya pada sidang khas Dewan Rakyat bagi perbahasan tarif AS.

Katanya, Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan tanah subur, sumber mineral pelbagai, dan potensi ekonomi hijau dan biru.

Ekonomi biru merujuk penggunaan sumber laut mampan, manakala ekonomi hijau menekankan karbon rendah, cekap sumber dan inklusif dari segi sosial.

AS mengumumkan tarif 24% kepada kebanyakan barangan Malaysia, namun pentadbiran Donald Trump membuat penangguhan sementara 90 hari pelaksanaan bagi membolehkan rundingan perdagangan berjalan.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal menilai sama ada tarif dikenakan AS akan memberi kesan terhadap negara.

Namun, katanya tarif tersebut akan memberi kesan negatif kepada rantaian bekalan dan perdagangan global terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang akan ‘mengganggu kestabilan ekonomi Asean’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.