
Sim mempersoalkan logik menaikkan premium insurans sehingga 50% apabila pemegang polisi melangkah ke ‘bracket’ atau kategori umur baharu.
Beliau berkata meskipun Bank Negara (BNM) memperkenalkan langkah interim bagi mengehadkan kenaikan premium insurans tidak lebih 10%, tetapi ia tidak terpakai untuk kenaikan berpunca daripada perubahan kategori umur.
Katanya, seorang pemegang polisi berusia 61 tahun mengadu menerima notis kenaikan premium insurans sebanyak RM3,023 atas alasan ‘beralih ke kategori umur seterusnya’.
“Seorang lagi pemegang polisi berusia 65 tahun yang membeli pelan pada 2008, diberitahu bahawa premium akan meningkat kepada RM4,099 tahun depan – meningkat 45% kerana faktor kategori umur.
“Syarikat insurans menawarkan pelan murah semasa pelanggan masih muda, namun menaikkan secara mendadak apabila mereka mencapai usia 60 tahun ke atas dengan alasan perubahan kategori umur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sim berkata, sistem ini jelas memangsakan pesara dengan menaikan premium ketika mereka tiada lagi pendapatan tetap, dan hanya bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Secara logik, pemegang polisi hanya menjadi satu hari lebih tua selepas ulang tahun kelahiran, namun premium insurans mereka boleh naik sebanyak 40% hingga 50%, hanya kerana melangkah ke kategori umur baru.
“Ini tidak masuk akal,” katanya.
Sim juga menggesa BNM memperbaharui mekanisme penetapan harga premium insurans, khususnya berkaitan kenaikan mendadak berdasarkan umur.
“Warga emas perlu dilindungi, bukan dijadikan mangsa. Sudah tiba masanya industri insurans mengutamakan keadilan dan kemanusiaan, bukan semata-mata keuntungan,” katanya.
“Warga emas perlu dilindungi bukan dimangsakan. Sudah tiba masanya industri insurans meletakkan keadilan dan kemanusiaan sebagai prinsip utama, bukan hanya keuntungan semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, Prudential Malaysia berkata premium insurans perubatan meningkat susulan peningkatan jumlah tuntutan, dengan purata tuntutan naik sebanyak 19.6% berbanding tahun sebelumnya.
Syarikat itu berkata peningkatan kos mungkin memerlukan semakan tahunan pelan perubatan dan caj insurans untuk memastikan pemegang polisi kekal dilindungi.
Ketika itu, Ahli Parlimen Bayan Baru menerima justifikasi dan jaminan syarikat insurans bahawa perubahan yang dibuat selaras dengan langkah sementara yang dikenakan oleh BNM.