Pemeriksa forensik tak dapat sahkan tandatangan Najib pada dokumen

Pemeriksa forensik tak dapat sahkan tandatangan Najib pada dokumen

Tay Eue Kam berkata beliau hanya menerima salinan fotokopi dokumen 1MDB didakwa ditandatangani bekas perdana menteri.

najib razak
Najib Razak berdepan pendakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. (Gambar EPA Images)
PUTRAJAYA:
Seorang pakar pemeriksa dokumen forensik memberitahu tidak dapat menentusahkan kesahihan tandatangan pada beberapa dokumen syarikat didakwa ditandatangani bekas perdana menteri, Najib Razak.

Tay Eue Kam ketika memberi keterangan dalam kes 1MDB, berkata beliau hanya menerima salinan fotokopi dokumen berkenaan, termasuk minit mesyuarat antara pengerusi lembaga penasihat 1MDB (Najib) dan ketua pegawai eksekutif syarikat ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Katanya, memandangkan dokumen tersebut sekadar salinan fotokopi, beliau tidak dapat menggunakan mikroskop atau sebarang peranti lain untuk mengesahkan ketulenannya.

“Beberapa perbezaan dapat dikenal pasti. Namun, (untuk memperoleh) kesimpulan sebenar memerlukan pemeriksaan daripada dokumen asli,” katanya.

Ditanya oleh peguam Najib, Shafee Abdullah sama ada tandatangan boleh dipindah ke dokumen lain dan ditampal ke dokumen yang dianalisisnya, Tay berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

“Agak mustahil untuk periksa (sama ada tandatangan disalin dan ditampal) dengan kualiti seperti itu (salinan fotokopi),” katanya.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan dana RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Awal hari ini, Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan berkemungkinan memanggil seorang lagi saksi dari Bukit Aman sebelum menutup kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.