Polis rampas dadah RM25 juta dibungkus di Setiu untuk pasaran Australia

Polis rampas dadah RM25 juta dibungkus di Setiu untuk pasaran Australia

Dua lelaki ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Setiu.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Setiu hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas hampir 600kg dadah jenis methamphetamine dan heroin base bernilai kira-kira RM25 juta, dipercayai dibawa masuk melalui perairan Kelantan dan Terengganu untuk pasaran Australia dalam serbuan sekitar Setiu bulan lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata serbuan pertama dibuat di tebing Sungai Setiu pada 9 malam 23 April.

Katanya, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dari Selangor ditahan ketika memunggah 29 beg dari sebuah bot.

“Pemeriksaan dalam beg pelbagai warna itu menemukan 470 bungkusan plastik disyaki berisi 479.27kg dadah jenis methamphetamine dan 297 ketulan heroin base seberat 109.89kg,” katanya pada sidang media di IPD Setiu, menurut Bernama.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua 500m dari lokasi pertama, iaitu di pesisir Pulau Tok Bilal pada 10 malam, polis menahan seorang lelaki dari Terengganu berusia 39 tahun bersama sebuah beg galas di dalam bot fiber.

Katanya, beg itu berisi sebungkus methamphetamine seberat 1.02kg.

Menurutnya, polis turut menyita tiga kenderaan suspek iaitu Toyota Vios, Honda Civic dan sebuah motosikal Honda EX5, barangan kemas, helmet Shoei serta wang tunai RM1,631 dengan nilai keseluruhan rampasan RM46,000.

Mat Zani berkata, semua dadah dibawa masuk oleh sindiket yang aktif sejak Mac lalu melalui kawasan ‘Golden Triangle’ dari Vietnam serta perairan Kelantan dan Terengganu menggunakan bot disewa konon untuk pakej memancing pada kadar RM4,800.

“(Selepas dibungkus semula), dadah itu akan dipindahkan ke sebuah kapal pesiar di sekitar perairan Terengganu sebelum dihantar ke Australia,” katanya memaklumkan dadah itu boleh digunakan 2.95 juta penagih.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Dadah Berbahaya 1952, menerima upah RM50,000 dari sindiket sama.

“Suspek direman 14 hari bermula 24 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.