Sophia Ibrahim sudah tiada

Sophia Ibrahim sudah tiada

Sophia atau nama sebenar, Safiah Ibrahim, aktif di bidang seni sejak era 1960-an dan pernah berlakon filem arahan P Ramlee.

Sophia Ibrahim
Sophia Ibrahim, 77, meninggal dunia akibat sesak nafas malam tadi. (Gambar Facebook Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia)
PETALING JAYA:
Seniwati legenda, Sophia Ibrahim, 77, meninggal dunia di sebuat pusat rawatan di Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira 7.15 malam tadi.

Sebelum itu, Sophia atau nama sebenar, Safiah Ibrahim yang juga pelakon kelahiran Singapura dilaporkan mengalami sesak nafas ketika menghadiri program di Hotel Grand Barakah Ampang.

Pelakon veteran, Tommei Tumiran yang kini berada di hospital, berkata jenazah Allahyarham Sophia sedang diuruskan sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang.

“Seperti dimaklumkan anaknya, arwah mengalami sesak nafas. Semalam, dia dalam keadaan baik sahaja dan pergi beraya bersama dengan rakan artis veteran.

“Tapi, dia sesak nafas dan dibawa ke hospital petang tadi.

“Sekarang saya berada di hospital, jenazah masih lagi diuruskan sebelum dibawa ke rumah anak saudaranya di Taman Samudera, Batu Caves, malam ini,” katanya kepada Berita Harian.

Tommei berkongsi, jenazah Allahyarham Sophia dijangka dibawa ke Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, esok pagi.

Sophia mula aktif di pentas hiburan sejak era 1960-an. Antara filem lakonannya adalah Dr Rushdi yang diarah dan dibintangi Seniman Agung, Allahyarham P Ramlee pada 1970.

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Politik Farhan Fauzi menghulur sumbangan kepada Sophia bagi meringankan kos pembedahan matanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.