‘Terlepas kandang’, Sany bidas Shahidan ‘babi pun tak mau tolong PN’

‘Terlepas kandang’, Sany bidas Shahidan ‘babi pun tak mau tolong PN’

Sany Hamzan dakwa Shahidan Kassim menyamakannya dengan binatang apabila menggelar tindakan mencelah sebagai 'terlepas kandang'.

Sany Hamzan Shahidan Kassim
Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim bertikam lidah.
KUALA LUMPUR:
Sidang khas Dewan Rakyat hari ini yang sepatutnya membincangkan hal berkaitan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) bertukar gamat apabila menjadi medan pertikaman lidah antara dua wakil rakyat.

Ia membabitkan Sany Hamzan (PH-Hulu-Langat) yang mendakwa Shahidan Kassim (PN-Arau) menyamakannya dengan binatang apabila menggelar tindakan mencelah sebagai ‘terlepas kandang’.

“Dia sebut kandang dan tuju Hulu Langat, itu untuk binatang…babi, sebab itu di (PRK) Ayer Kuning tiada isu terpaksa minta tolong dengan babi.

“Babi pun tak mau tolong PN (Perikatan Nasional), orang cari pengundi bukan cari najis babi,” kata Sany ketika membangkitkan peraturan 36(6) dan meminta Shahidan menarik balik tuduhan itu.

“Jadi wakil rakyat dah lama, tapi tiada adab, tiada akhlak samakan orang dengan binatang.”

Untuk rekod, pencemaran ladang babi antara isu utama dibawa PN pada PRK Ayer Kuning, 26 April lalu.

Timbalan Speaker Alice Lau berkata beliau akan menyemak hansard Parlimen manakala Shahidan menafikan ada menyebut nama mana-mana wakil rakyat dengan panggilan itu.

“Saya tak sebut siapa-siapa, saya kata orang belah kanan,” katanya.

Sebelum kekecohan itu berlaku, Shahidan dalam perbahasannya berkata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sepatutnya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dalam delegasi ke Washington untuk membincangkan tarif timbal balik AS ke atas Malaysia.

“Zafrul adalah senator dan akan habis perkhidmatan tahun ini. Siapa nak sambung? YB (Zafrul) mungkin akan jadi duta tapi tak sama dengan perunding, biar seorang menteri bersama.

“Kalau menteri kewangan tak boleh sekurang-kurangnya menteri ekonomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.