Pemilihan pusat PKR 23 Mei, kongres nasional awal sehari

Pemilihan pusat PKR 23 Mei, kongres nasional awal sehari

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata Kongres Nasional PKR berlangsung 24 Mei, berbanding tarikh asal 25 Mei.

fuziah
Fuziah Salleh berkata, penyelarasan tarikh kongres bermula 21 hingga 24 Mei dibuat mengambil kira tugas rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan ketua negara Asean pada 25 Mei. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Nasional PKR diselaraskan semula sehari lebih awal pada 24 Mei, susulan tugas rasmi Anwar Ibrahim selaku perdana menteri menyambut ketua negara Asean dijangka tiba sehari selepas itu.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata turut diselaraskan tarikh melibatkan Kongres Pemuda dan Wanita pada 21 Mei, selain Kongres Nasional Pemuda dan Wanita (22 Mei).

Katanya, pengundian pemilihan peringkat pusat ditetapkan pada 23 Mei disusuli perasmian Kongres Nasional PKR.

“Segala persiapan melibatkan perwakilan, logistik, dan pelaksanaan akan diselaraskan semula mengikut ketetapan tarikh terkini.

PKR menyeru semua pihak agar mengambil maklum akan perubahan ini dan melakukan penyesuaian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Kongres Nasional PKR dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru (Persada).

Pada 2 Mei, PKR mengumumkan tarikh baru pencalonan peringkat pusat pada 8 hingga 9 Mei, berbanding tarikh asal 3 dan 4 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.