
Menurut Adam, Izzah bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi kepada generasi baharu.
“Saya yakin, ianya bukan soal individu, tetapi langkah strategik untuk memperkukuhkan barisan kepimpinan masa hadapan parti.
“Dalam suasana politik yang semakin kompleks, Izzah jadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi ke generasi baharu, melintasi pelbagai latar yang ada,” katanya dalam kenyataan.
Sokongan sama turut dinyatakan oleh 22 daripada 26 ketua PKR Johor yang mahu Izzah merebut jawatan nombor dua terbabit.
Mereka termasuk Khairil Adanan (Mersing), Ysahruddin Kusni (Bakri), Haniff Ghazali (Pontian), Faizul Abd Ghani (Pengerang), Kalytas Chandrahasan (Kluang), Hisyamuddin @ Misrin Haji Ishak (Parit Sulong), Shahrun Radzi (Sembrong), Lbrahim Mohd Nor (Kota Tinggi), Roselin Nona (Muar), Sayful Ariffin (Tanjung Piai) dan Ravi Shankar (Labis).
Selain itu, Shamala Vasudevan (Segamat), Fakharuddin Moslem (Tenggara), Subramani Chami (Pagoh), Rosman Tahir (Ayer Hitam), Faezudin Puad (Pulai), Arthur Chiong Sen Sern (Kulai), Shamala Devi (Iskandar Puteri), Pang See Keong (Sekijang), Murad Jailani (Pasir Gudang), Prakash Maniam (Tebrau) dan Saad Salleh (Sri Gading).
Menurut Ketua Bahagian Mersing, Khairil Adanan, berkata Izzah mampu membuktikan kematangan dan kredibilitinya sendiri tanpa perlu bersandar pada nama besar keluarga, iaitu bapanya yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Izzah Anwar bukan sekadar anak kepada (Anwar) tetapi pemimpin yang telah membina identiti sendiri melalui rekod perjuangan yang kukuh. Sejak mula bergiat aktif dalam politik, beliau telah membuktikan kematangan dan kredibilitinya,” katanya.
Tambahnya lagi, Izzah yang pernah menjadi Ahli Parlimen tiga penggal, telah memperjuangkan isu pendidikan, hak wanita, dan kebebasan bersuara termasuk membantu komuniti terpinggir dan pembaharuan sistem pendidikan.
Katanya, ia meletakkan kedudukan beliau sebagai individu yang dihormati atas merit sendiri.
“Kepimpinan Izzah sebagai timbalan presiden dilihat akan melengkapkan PKR dengan visi yang segar dan progresif,” katanya.
Selain Johor, ketua PKR di negeri lain seperti Selangor, Perak, Melaka dan Pahang, turut menyatakan sokongan terhadap Izzah bertanding jawatan nombor dua itu.