Radzi, Peja dilantik jalan tugas timbalan presiden Bersatu

Radzi, Peja dilantik jalan tugas timbalan presiden Bersatu

Presiden Muhyiddin Yassin berkata keputusan dibuat bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli.

mesyuarat MKT Bersatu rumah muhyiddin bukit damansara
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat di kediaman Presiden Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini sebulat suara bersetuju melantik Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas timbalan presiden, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli ketika parti itu berdepan cabaran semasa.

“Saya menyeru semua ahli Bersatu supaya kekal tenang dan terus memberi sokongan kepada barisan kepimpinan parti dalam usaha mengemudi Bersatu kembali ke landasan perjuangan asal untuk membela nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat khas MPT hari ini.

Mesyuarat khas MPT dibuat susulan keputusan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden Bersatu semalam.

Muhyiddin turut menyatakan keyakinan bahawa semangat kebersamaan serta kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti akan membantu Bersatu mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda ketika ini.

Semalam, Bersatu memecat Hamzah, yang juga ketua pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Lembaga disiplin menyatakan Hamzah melanggar peruntukan perlembagaan parti yang memerlukan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika, dan tata kelakuan parti.

Selepas Hamzah, Bersatu turut memecat 16 pemimpin termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Mesyuarat khas MPT Bersatu itu yang bermula pada 10.30 pagi tadi berakhir kira-kira 12.30 tengah hari.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan tindakan yang diambil terhadap Hamzah dan beberapa pimpinan kanan parti itu bukanlah diambil secara sewenang-wenangnya.

Beliau berkata sebelum tindakan disiplin diambil, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata usaha itu tidak berhasil dan terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan untuk memecah-belahkan parti dan
menggagalkan matlamat perjuangan parti.

“Saya bersangka baik demi satu tujuan iaitu untuk memastikan parti Bersatu terus bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti yang murni.

“Malangnya usaha saya ini telah tidak dihargai oleh mereka. Malah, tindakan-tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan parti dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.

“Jika dibiarkan perbuatan ini akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli-ahli parti yang setia dengan perjuangan parti,” katanya.

Muhyiddin berkata disebabkan itu, beliau dan barisan kepimpinan Bersatu bertekad untuk mengambil tindakan disiplin parti yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelamatkan parti.

“Ini adalah satu tindakan yang perlu diambil dan merupakan pilihan yang terbaik pada masa ini dalam usaha untuk memulihkan perpaduan parti dan menyelamatkan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.