Polis trafik Bukit Aman didakwa bunuh lelaki di Kuching

Polis trafik Bukit Aman didakwa bunuh lelaki di Kuching

Genesis Mitchell David Reddy didakwa menembak mati Zaki Iderus pada 26 April lalu.

kuching
Tiada pengakuan dibuat Genesis Mitchell David Reddy kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai polis trafik Bukit Aman didakwa di Mahkamah Majistret Kuching atas pertuduhan membunuh.

The Borneo Post melaporkan Genesis Mitchell David Reddy, 29, mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Alwi.

Dia didakwa menembak mati Zaki Iderus, 34, di Jalan Stephen Yong pada 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua lelaki membawa mangsa yang terbaring dalam Perodua Myvi ke Balai Polis Batu Kawa pada 5.20 pagi 26 April lalu.

Mereka mendakwa mangsa terkena tembakan ketika melalui Jalan Stephen Yong di Batu Kawa.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tempatan itu terkena dua das tembakan di kepala dan lengan kanan.

Polis kemudian menahan suspek utama dan dua rakan mangsa yang bersamanya dalam kereta itu ketika kejadian, selain merampas sebuah kereta dan pistol bersama 12 peluru dipercayai milik suspek.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun kerana pihak pendakwaan belum menerima laporan kimia, balistik dan bedah siasat.

Mitchell diwakili peguam Russell Lim dan Brendan Ting dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.