
Formula itu merujuk kepada gesaan sembilan cawangan DAP Melaka supaya BN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing bertanding 14 kerusi yang mencetuskan kritikan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin, berkata Ahli Parlimen DAP tahun lalu pernah dilaporkan media yang mereka tidak akan menyerah kerusi di Kuala Lumpur kepada BN.
“Masuk 2025, mungkin dia hilang ingatan, dia hendakkan negeri BN memerintah, Melaka pula. Siap cadang formula 14+14. Tanpa rasa segan silu.
“Saya cadang semua Adun BN di Melaka buatlah kenyataan bersama seperti mana mereka (Ahli Parlimen DAP) bersatu hati mempertahankan kerusi di Wilayah Persekutuan,” katanya di Facebook.
Beliau secara sinis turut meminta pemimpin DAP yang mahu menuntut kerusi BN di Melaka supaya melihat tindakan rakannya di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Ambillah cermin. Jangan sibuk kata orang lain sombong, sambung atau bercakap tanpa fakta. Kami hanya pertahankan hak seperti kamu lakukan dahulu,” katanya.
Semalam, Akmal yang juga Adun Merlimau berkata BN Melaka tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada DAP.
Merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘9 cawangan DAP Melaka’ meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN akan datang, Akmal menegaskan parti itu boleh ‘terus bermimpi’.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan pecahan BN (20), PH (5) dan PN (3).