BN-PH sah kerjasama PRN Sabah

BN-PH sah kerjasama PRN Sabah

Rundingan dan agihan kerusi akan diperincikan antara kepimpinan BN dan PH Sabah.

Kerjasama BN-PH diputuskan dalam mesyuarat antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, semalam.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sah bekerjasama pada PRN Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Zahid Hamidi, semalam.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan.

“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama antara kepimpinan PH dan BN Sabah.

“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN,” katanya.

Ketika ini BN dan PH berada di blok berbeza dalam pentadbiran Sabah walaupun kedua-duanya bersama membentuk kerajaan perpaduan di pusat.

PH menjadi sebahagian pentadbiran negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

BN pula berada di blok pembangkang selepas gagal dalam cubaan menjatuhkan pentadbiran Hajiji dalam ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.

Penggal DUN Sabah akan berakhir pada November ini dan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas pembubarannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.