‘Tolak ansur’ perlu jadi asas kerjasama PRN Sabah, kata penganalisis

‘Tolak ansur’ perlu jadi asas kerjasama PRN Sabah, kata penganalisis

Penganalisis nampak manfaat kerjasama BN-PH-GRS namun masing-masing perlu bertolak ansur.

BN, PH dan GRS akan dapat menyatukan undi dan membawa kestabilan politik di Sabah jika bekerjasama.
PETALING JAYA:
‘Tolak ansur’ perlu menjadi asas kepada kerjasama menghadapi PRN akan datang, menurut seorang penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kerjasama membabitkan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Gabungan Rakyat Sabah tidak mustahil, namun ia menyebabkan BN dan PH bukan parti dominan dalam soal agihan kerusi.

“Sebarang kerjasama yang berasaskan persefahaman rapuh tidak akan menguntungkan sesiapa. Kerjasama politik memerlukan keikhlasan dan tolak ansur,” katanya kepada FMT.

Maklum bahawa setiap parti ada cita-cita tersendiri, Lee berkata ketiga-tiga gabungan itu akan menyatukan undi sekiranya bekerjasama. “Jika bersaing sesama sendiri, sudah pasti undi akan berpecah.”

Terdahulu dilaporkan BN dan PH sah bekerjasama pada PRN Sabah, diputuskan dalam mesyuarat antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi kelmarin.

Susulan perkembangan tersebut, GRS mengumumkan ia bersedia untuk bertanding secara solo, dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain.

Zahid yang juga pengerusi BN pada Khamis mengumumkan pihaknya masih terbuka menjalinkan kerjasama dengan GRS.

Bilcher Bala dari UMS percaya kerjasama BN-PH-GRS mampu membawa kestabilan politik jika dilaksana dengan baik.

Beliau percaya rundingan sedemikian perlu mengambil kira perbezaan ideologi, strategi politik, dan kepentingan tempatan.

Katanya, sebagai misalan, GRS dapat memperkuat kedudukan kerajaan negeri dengan sokongan yang lebih besar namun perlu ia memastikan tidak kehilangan identiti dan autonomi.

“BN pula akan dapat mengukuhkan kedudukan politik di Sabah dengan sokongan tambahan dari GRS dan PH. Akan tetapi ia perlu berhati-hati dengan bentuk kompromi yang diperlukan.

“Manakala PH berpotensi memperluas pengaruh di Sabah tetapi perlu memastikan bahawa kerjasama itu tidak menjejaskan sokongan asas mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.