
Pengerusi BN berkata, gabungan parti di pusat wajib bekerjasama dengan parti politik di Sabah.
“Ini wajib dilakukan kerana kita mengetahui kombinasi antara organisasi politik pusat dan organisasi politik negeri mesti disantuni dan mesti diterjemahkan sebagai satu realiti.
“Bukan sahaja dengan GRS tetapi kami terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti politik lain di Sabah,” katanya pada sidang media selepas majlis perkhidmatan cemerlang dan apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerjasama GRS, Pakatan Harapan (PH) dan BN penting untuk menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.
Anwar yang juga pengerusi PH ketika dalam lawatan ke Tawau pada 11 Mei berkata, perbincangan mengenai kerjasama antara PH Sabah, BN dan GRS masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Jumaat lalu, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bersama mengesahkan kesepakatan PH dan BN untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.
Sementara itu, Zahid berkata beliau sudah mengadakan ‘banyak’ perbincangan dengan GRS, namun tidak mendedahkan lebih lanjut pertemuan itu.
“Saya telah mengadakan banyak kali perbincangan dengan mereka (GRS). Walaupun kita (BN) belum memuktamadkan bentuk gabungan besar, tentunya kita sedang mengeksplorasi beberapa kemungkinan BN-PH plus (dan) sepatutnya kita tidak tertakluk kepada satu atau dua gabungan,” katanya.