
Turut diambil kira keraguan terhadap keikhlasan kerajaan pimpinan PH melawan rasuah, dan kompromi politik dengan Barisan Nasional.
Mereka mengupas amaran Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa data dalaman menunjukkan 32% daripada pengundi Cina mengatakan tidak akan mengundi PH, manakala sokongan kepada PH dalam kalangan pengundi India merosot 38%.
Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, masalah dihadapi rakyat dengan kenaikan kos sara hidup dan pencapaian ekonomi dilihat tidak jauh berbeza dengan situasi sebelum ini menyumbang kepada kemerosotan itu.
Penyelarasan subsidi dan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan juga menyebabkan mereka resah.
“Selain itu, setelah PKR dan PH mengepalai kerajaan, isu etnik meningkat dan langkah diambil dilihat sebagai tidak serasi dengan kehendak pengundi Cina,” katanya.
Wong Chin Huat dari Universiti Sunway pula menarik perhatian kepada persepsi pengundi bukan Melayu terhadap keikhlasan kerajaan melawan rasuah.
“Kerajaan perlu tangkis persepsi bersikap munafik dalam isu rasuah — bersungguh menentang rasuah hanya apabila musuh politik yang kena, tetapi berlengah kalau rakan politik yang dituduh,” katanya.
Wong bagaimanapun menambah tiada perbezaan yang banyak antara kaum berhubung perkara ini, kerana data Rafizi menyatakan orang muda lebih percaya pada PAS untuk melawan rasuah.
“Kedua, pengundi India berasa terabai oleh kerajaan Madani dan ada yang rindukan kerajaan Najib Razak dahulu,” katanya.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah pula berkata, terdapat penyokong PH tidak berpuas hati ekoran janji reformasi yang didakwa gagal ditunaikan.
“Bukan semua penyokong PH dapat terima kompromi politik dengan BN,” katanya.
Dalam pada itu, Chin berpandangan sokongan menurun tidak bermaksud undi pengundi Cina dan India akan berpindah ke Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini, strategi PN untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina masih tidak jelas,” katanya.
Wong berkata, pengundi Cina berkenaan berasa ‘malas’ untuk mengundi manakala dalam kalangan pengundi India pula “ada yang bercadang memberi undi bantahan kepada PN.”
Rafizi pada Isnin berkata, PH perlu sedar kekecewaan pengundi dan mengambil tindakan bermakna, khasnya pengundi atas pagar yang memerhati kerajaan perpaduan.
Beliau berkata demikian dalam kempen di Kedah, menjelang pemilihan PKR yang menyaksikannya dicabar Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden.