Nurul Izzah mahu luas ‘skop reformasi’ dalam lingkungan parti

Nurul Izzah mahu luas ‘skop reformasi’ dalam lingkungan parti

Nurul Izzah Anwar berharap dapat tumpu pada reformasi dalaman jika diplih sebagai timbalan presiden PKR.

Nurul Izzah Anwar mencabar Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan kali ini.
KUALA LUMPUR:
Nurul Izzah Anwar harap dapat tumpu pada memperluaskan reformasi dalaman jika dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.

“Sebagai timbalan presiden, saya berharap dapat beri tumpuan pada menekankan dan meluaskan skop reformasi sebanyak yang kita boleh dalam lingkungan parti,” katanya kepada pemberita seusai acara kempen, tanpa huraian lanjut tentang agenda reformasi tersebut.

Izzah, yang mencabar penyandang Rafizi Ramli untuk jawatan itu, menjawab pertanyaan tentang pelanjutan kontrak Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk membangkitkan perkara itu kepada Presiden Anwar Ibrahim, beliau menjawab: “Seperti yang saya katakan, dalam skop parti.”

Izzah dilapor mengkritik pelantikan semula Azam di platform X pada Sabtu lalu, mengatakan kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru.

Azam Baki dilantik semula buat kali ketiga mengetuai SPRM bagi tempoh setahun lagi berkuat kuasa 13 Mei.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen, berkata beliau tidak menukar Azam mengetuai SPRM kerana tidak mahu menimbulkan persepsi ketua pesuruhjaya perlu diganti sekiranya perdana menteri bertukar.

Perdana menteri berkata, mengikut peraturan dan perundangan semasa, SPRM merupakan badan bebas yang tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.