Masa Rafizi belum tamat, Nik Nazmi akui Nurul Izzah popular

Masa Rafizi belum tamat, Nik Nazmi akui Nurul Izzah popular

Naib presiden PKR berkata parti perlu kepada gaya pimpinan berbeza antara Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli.

Nurul Izzah Anwar mencabar Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden, menjelang pemilihan PKR pada 23 Mei.
PUTRAJAYA:
Gandingan Presiden Anwar Ibrahim dan Timbalan Rafizi Ramli menjadi langkah terbaik PKR untuk berdepan PRU akan datang, menurut Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, Nurul Izzah Anwar yang mencabar Rafizi bagi jawatan nombor dua, kekal tokoh penting parti mengambil kira daya tarikan dan popularitinya.

Namun, beliau percaya Rafizi sepatutnya dipilih untuk berkhidmat bagi penggal kedua sebagai timbalan kepada Anwar.

“Izzah popular, beliau ada daya tarikan untuk orang muda dan ramai peminat dari segi sokongan politik. Tetapi, bukanlah saya mahu kata Izzah tidak boleh menjadi timbalan presiden.

“Saya juga mahu beliau berjaya dan beliau berhak memainkan peranan dalam parti…namun bukan pada masa ini, Rafizi berhak mempertahankan kedudukannya,” katanya dalam wawancara bersama beberapa media terpilih.

Nik Nazmi berkata, gaya pimpinan berbeza antara Anwar dan Rafizi adalah kekuatan bukannya kelemahan.

Beliau berkata, Anwar mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan mampu meraih sokongan di akar umbi dan menyatukan pelbagai pihak, sekali gus memperlihatkan kebijaksanaan dan ketelitian taktikal politik.

Bagi Rafizi, “apa yang ada lihat itulah dirinya”, kata Nik Nazmi. “Beliau akan membentangkan sesuatu secara terus terang, kadang kala mungkin ‘pedas’, tetapi itulah yang membantu kami berdepan masa sukar.

“Mereka ada gaya berbeza, namun perkara itu yang memberikan kita kekuatan.”

Rafizi dan Izzah akan bertembung dalam perebutan timbalan presiden, di mana Rafizi menang pada pemilihan parti 2022 dan ketika itu anak perempuan Anwar tidak bertanding. Beliau merupakan naib presiden lantikan.

Nik Nazmi merupakan rakan sepasukan Rafizi pada pemilihan tahun ini dan akan mempertahankan naib presiden, di mana ramai calon masuk bertanding untuk jawatan itu.

Ia termasuk tiga lagi penyandang, Amirudin Shari, yang mana secara terbuka menyatakan sokongan kepada pencalonan Izzah. Dua lagi penyandang – Aminuddin Harun dan Chang Lih Kang, pendukung Rafizi.

Nik Nazmi berkata, walaupun terdapat persaingan besar bagi jawatan kedua tertinggi PKR, tumpuan parti dan perwakilan seharusnya kepada PRU akan datang, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.

“Saya fikir pemilihan parti bukan penamat. Ia adalah proses memilih pimpinan terbaik untuk mengukuhkan parti menuju PRU16. Kita mahu menang dan memastikan Anwar terus menjadi perdana menteri bagi penggal kedua,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.