
Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata polis pada mulanya menerima laporan daripada suspek mendakwa dia dan kenalannya berusia 17 tahun terbabit ditikam dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dan dipercayai disamun.
“Berdasarkan siasatan lanjut, kita percaya suspek berusia 23 tahun itu menikam mangsa yang didakwa berhutang dengannya.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Bernama.
Beliau berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Taman Pahlawan Sungai Udang kira-kira 6.15 petang kelmarin untuk siasatan.
“Suspek dikesan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan judi.
“Dia turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.