PKR perlu rangka program dekati pengundi muda, kata Nurul Izzah

PKR perlu rangka program dekati pengundi muda, kata Nurul Izzah

Naib presiden PKR berkata kaji selidik menunjukkan 68% orang muda tidak minat politik, justeru parti berperanan mendepani cabaran itu.

NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata parti itu perlu merangka program kemasyarakatan yang sebati dengan jiwa pengundi muda.
BUKIT MERTAJAM:
PKR perlu memperkasa jentera dan mendekati rakyat dengan merangka program kemasyarakatan, khususnya bagi pengundi muda untuk meraih sokongan golongan itu menjelang PRU16.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, berkata kaji selidik menunjukkan 68% orang muda tidak meminati politik, justeru parti mempunyai peranan mendepani cabaran itu.

“Kita faham, mereka (pengundi 18 tahun) undi berdasarkan pilihan kawan. Kalau dulu mereka dengar mak ayah undi parti A, dia hendak undi parti C, mereka tak nak ikut, mahu jadi ‘rebel’. Ini juga cabaran yang akan kita hadapi.

“Bila bercakap dalam konteks masalah 68% pengundi muda tidak minat politik, maksudnya kita kena pastikan program masyarakat itu menjadi sebati dengan jiwa,” katanya ketika berucap pada Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara di sini, malam tadi.

Nurul Izzah yang akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR 23 Mei ini juga mahu ahli parti tidak melupakan sejarah ia sentiasa kalis dan berdepan pelbagai cabaran sejak ditubuhkan pada 4 April 1999.

Mengenai cadangan berdebat dengan pesaingnya Rafizi Ramli, katanya, beliau lebih fokus berjumpa akar umbi parti berbaki lima hari pemilihan parti.

Ketua PKR Pulau Pinang itu juga mahu memfokuskan PRU16 dan beberapa PRN akan datang yang disifatkannya lebih penting berbanding pemilihan parti.

Pemilihan PKR menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden antara Nurul Izzah dan Rafizi, manakala Presidennya, Anwar Ibrahim menang tanpa dicabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Pemuda dan Wanita dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.