
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, PKR turut mengheret seorang sekutu rapat dalam pertelingkahan mereka, merujuk kritikan Ahli Parlimen DAP, Wong Shu Qi terhadap Wong Chen dari PKR kerana mengaitkan partinya dengan politik wang.
Walaupun Presiden PKR Anwar Ibrahim adalah perdana menteri, Fauzi memberitahu FMT bahawa parti itu perlu lebih realistik mengenai kekuatan dan sokongan sebenar dimilikinya, memandangkan ia hanya mempunyai 31 kerusi parlimen berbanding DAP (40) dan PAS (43).
“Antara golongan Melayu-Muslim, sokongan untuk PKR tidak pernah naik lebih 30% seperti diakui Timbalan Presidennya Rafizi Ramli.
“Sikap PKR mendedahkan masalah dalaman untuk tatapan seluruh negara amat menjelikkan, khususnya bagi orang Melayu yang cintakan perpaduan.
“Bukannya kita berdepan PRU merebut jawatan timbalan perdana menteri antara dua individu yang berpotensi,” katanya, dengan menekankan hasil pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR ini malah tidak akan memberi kesan terhadap kepimpinan negara.
Perebutan jawatan timbalan presiden antara penyandang Rafizi, dengan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh (dari 2018 hingga 2022) dan Lembah Pantai (2008 hingga 2018) paling banyak menarik perhatian dalam pemilihan PKR kali ini.
Kempen Nurul Izzah dilihat menggunakan pendekatan lebih lembut, tetapi lebih 200 bahagian PKR mengisytiharkan sokongan untuknya, termasuk Hang Tuah Jaya di bawah pimpinan setiausaha politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin.
Sebaliknya, Rafizi amat lantang bersuara terhadap pelbagai pemimpin serta calon PKR ketika berkempen, yang seterusnya turut mengundang kritikan.
Rafizi, menteri ekonomi serta Ahli Parlimen Pandan juga melanggar tradisi parti itu apabila enggan merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita parti yang selalunya dilakukan timbalan presiden.
Fauzi memberi amaran parti seperti PAS akan mengambil kesempatan terhadap pertelingkahan dalaman PKR ini dan menarik sokongan Melayu menjelang PRU16.
Penganalisis politik itu berkata, kempen Rafizi khususnya memudaratkan parti, memandangkan masyarakat Melayu amat mementingkan nilai murni seperti kemaafan dan tidak menjatuhkan martabat pihak lawan.
“Dalam keadaan Rafizi, beliau memandang rendah (pengarah pilihan raya PAS) Sanusi Nor sehingga mempersoal kelayakan tertiar beliau yang diperoleh secara sah dari USM.”
Beliau menganggap tindakan Rafizi sebagai ‘jahil’, yang membawa kepada fitnah terhadap lawan politik, malah kenyataannya langsung tidak wajar.
“Tidak kiralah sejauh mana anda membenci lawan, anda tidak patut menghina sebarang pencapaian diraih mereka.”
Fauzi berkata, walaupun Rafizi mempunyai kekuatan dari segi fakta dan nombor, kehalusan dari segi politik, sikap merendah diri dan perwatakan berbudi bahasa amat penting bagi orang Melayu dan politik negara.
“Disebabkan itulah dalam PKR, bukan mengejutkan apabila ramai golongan muda cenderung menyokong Nurul Izzah. Debat mengenai dasar boleh dilakukan di peringkat kebangsaan, contohnya jika PH melawan Perikatan Nasional.
“Namun apabila melibatkan rakan dalam parti, kenapa pula satu negara perlu diheret sama dalam debat yang mampu memberi implikasi negatif untuk PKR?”