Tarikh mesyuarat diubah untuk muktamad unjuran ekonomi, kata speaker

Tarikh mesyuarat diubah untuk muktamad unjuran ekonomi, kata speaker

Perubahan itu bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi, dengan mengambil kira tarif timbal balas AS.

dewan rakyat
Tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah hari persidangan Dewan Rakyat kepada 78 hari, berbanding 69 hari pada 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat mengesahkan tarikh mesyuarat kedua penggal keempat diubah.

Perubahan itu bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi, dengan mengambil kira tarif timbal balas Amerika Syarikat sebagai input kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Speaker Johari Abdul berkata beliau dimaklumkan oleh ketua majlis (perdana menteri) bahawa mesyuarat yang dijadualkan pada 23 Jun hingga 31 Julai diubah ke 21 Julai hingga 28 Ogos.

“Pemakluman ini selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, meminta penjelasan tentang penangguhan ini, mendakwa ia tempoh ketika terpanjang Parlimen tidak bersidang selepas mesyuarat ditangguhkan pada 6 Mac, iaitu 137 hari, selepas rusuhan 13 Mei 1969 (648 hari) dan semasa Proklamasi Darurat pada tahun 2021 (195 hari).

Johari sebaliknya berkata tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah hari persidangan Dewan Rakyat kepada 78 hari, berbanding 69 hari pada 2024.

Beliau turut memuatkan takwim persidangan melibatkan para Ahli Parlimen yang berlangsung sepanjang 2025.

“Tahun 2025 merupakan tahun yang penuh dengan komitmen bagi semua Ahli Yang Berhormat, bukan sahaja dari segi urusan Parlimen di peringkat dalam negeri, malah melalui penglibatan langsung dalam pelbagai persidangan serantau termasuk Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA),” katanya.

Menurutnya lagi, perubahan tarikh ini antara lain bagi memastikan kelancaran persidangan yang akan datang, termasuk penyediaan RMK13.

Semakan di laman sesawang Parlimen mendapati takwim Dewan Rakyat dikemaskini, memaparkan mesyuarat kedua dijadualkan pada 21 Julai hingga 28 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.