PKR sasar tanding minimum 13 kerusi PRN Sabah

PKR sasar tanding minimum 13 kerusi PRN Sabah

Timbalan presiden PKR harap Anwar Ibrahim runding dengan komponen PH dan gabungan parti yang akan bekerjasama.

nurul izzah
Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar mengajak ahli semua peringkat negeri melibatkan diri berkempen di PRN Sabah.
JOHOR BAHRU:
PKR menyasarkan bertanding minimum 13 kerusi pada PRN Sabah, kata Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar.

Katanya, bagi memastikan sasaran itu Presiden PKR Anwar Ibrahim diharap dapat berunding dengan komponen Pakatan Harapan dan gabungan parti yang akan bekerjasama dalam pilihan raya itu.

“Kena minta presiden berunding 13 kerusi minimum untuk negeri Sabah,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan dalam Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Sebelum ini, PH dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang bakal menjadi rebutan parti bertanding. Sebelum ini PKR hanya memenangi dua kerusi di negeri itu.

PRN Sabah dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini susulan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor genap lima tahun Oktober depan.

Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat khas Biro Politik PKR akan diadakan pada 29 Mei depan untuk membincangkan persediaan parti untuk PRN Sabah.

“Setakat ini, saya telah berunding dengan (Pengerusi Barisan Nasional) Zahid (Hamidi) dan Hajiji (Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  untuk memastikan kerjasama boleh dilakukan dengan syarat adanya pengiktirafan terhadap usaha PKR dan PH.

“Tujuannya supaya diberikan peluang untuk sama-sama bekerja untuk bela nasib orang Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.