Mahasiswa disaran sertai ‘politik perjuangan’

Mahasiswa disaran sertai ‘politik perjuangan’

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata politik perjuangan harus berteraskan idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

universiti
Saifuddin Abdullah menyifatkan PBMUM antara gerakan mahasiswa paling berpengaruh dalam sejarah negara.
PETALING JAYA:
Cadangan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mewujudkan konsensus nasional baharu akan menjadi ‘politik baharu’ berlandaskan perjuangan, prinsip dan nilai murni, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah.

Bekas presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) itu berkata, politik perjuangan harus berteraskan tiga rukun utama, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme bagi membina masa depan politik negara yang bersih dan progresif.

Saifuddin Abdullah.

“Politik perjuangan punya ciri-ciri bersih dan segar, iaitu politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukannya politik fitnah dan politik bakti bukannya politik undi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyarankan mahasiswa menceburi politik melalui pendekatan politik perjuangan, khususnya PBMUM yang mampu melahirkan pemimpin masa depan.

Khamis lalu, Hamzah membentangkan visi Perikatan Nasional (PN) berhubung ‘konsensus nasional baharu’ untuk mengatasi perpecahan politik dan sosial, serta merintis jalan ke arah kemakmuran masa depan Malaysia.

Timbalan pengerusi PN itu ketika bercakap di Institut ISEAS–Yusof Ishak, Singapura, berkata konsensus itu tidak boleh terhad kepada satu kaum, agama atau wilayah, tetapi perlu ‘menyatukan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat’.

Katanya, konsensus itu dibina atas tiga ‘teras utama’ — matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus yang penuh ihsan.

Sementara itu, Saifuddin menyifatkan PBMUM antara gerakan mahasiswa paling berpengaruh dalam sejarah negara yang memperjuangkan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Menurutnya, PBMUM tidak menumpukan aspek budaya semata-mata, tetapi turut memberikan pengertian luas terhadap kebudayaan sebagai spektrum kehidupan yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Program PBMUM bersifat bersama dan untuk masyarakat, serta menuntut ditegakkan nilai seperti kebenaran, keadilan dan kemakmuran.

“PBMUM menggunakan pelbagai pendekatan dan orientasi dalam melaksanakan programnya. PBMUM telah melahirkan ramai pemimpin, termasuk dalam politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.