
“Kami letak jawatan. Kami tak akan khianati parti,” kata Nik Nazmi dalam satu hantaran di X.
Semalam, tular di media sosial satu mesej yang mendakwa 11 Ahli Parlimen parti itu akan menarik sokongan kepada Presiden Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu semalam meletak jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar selepas gagal mempertahankan jawatan naib presiden PKR.
Nik Nazmi, yang merupakan Ahli Parlimen dua penggal, turut gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian Setiawangsa dalam pemilihan peringkat cabang bulan lalu.
Sementara itu, Rafizi turut meletak jawatan sebagai menteri ekonomi selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.
Beliau berkata tindakan itu selaras dengan amalan di negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, di mana pemimpin parti yang tewas dalam pemilihan memberi laluan kepada mereka yang mendapat mandat baharu.