
Firma guaman Lui & Bhullar yang bertindak bagi pihak Aminul, berkata istilah tersebut digunakan dalam video yang disiarkan pada 17 April di beberapa platform termasuk di Facebook dan YouTube.
Katanya, istilah berkenaan yang didakwanya bersifat keji serta menghina, turut digunakan beberapa kali dalam episod podcast Yang Berhenti Menteri kendalian Rafizi.
“Tindakan anda adalah disengajakan, berniat jahat dan sama sekali tidak boleh dimaafkan kerana istilah ini secara sejarahnya digunakan untuk menghina seseorang. Ia merupakan perkataan yang sarat dengan memori penindasan ala kolonial, penindasan budaya dan genosid.
“Secara jelas mahupun secara tersirat, istilah tersebut digunakan terhadap anak guam kami dengan niat untuk merendah-rendahkan maruah, memalukan, serta mendatangkan mudarat kepada beliau,” menurut surat tuntutan itu.
Firma itu juga berkata Ahli Parlimen Pandan tersebut menerbitkan semula beberapa bahagian artikel Bloomberg yang kini menjadi subjek saman sivil dengan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.
Ia mendakwa kenyataan tersebut bersifat memfitnah, sambil menegaskan bahawa Aminul tidak terlibat dalam amalan rasuah, tidak menipu pekerja migran, dan tidak ‘bersembunyi’ di sebalik pihak tertentu untuk mengelak tindakan undang-undang.
“Malah, Bestinet telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan anak guam kami telah memberikan kerjasama sepenuhnya.”
Dalam surat bertarikh 21 April itu, firma berkenaan menuntut Rafizi memohon maaf dalam tempoh tujuh hari.
Ia turut menuntut bekas menteri ekonomi itu menarik balik dan menghentikan penggunaan istilah berkenaan, selain mengakui bahawa ia bersifat menyinggung.
Firma itu memberi amaran bahawa Aminul akan membuat laporan polis atas gangguan jenayah serta memfailkan saman sivil untuk menuntut ganti rugi sekiranya Rafizi gagal mengemukakan permohonan maaf.
Dalam kenyataan berasingan, Rafizi berkata beliau telah meminta peguamnya mengendalikan perkara tersebut.
Awal tahun ini, Bestinet dan Aminul memfailkan saman terhadap Bloomberg dan sembilan yang lain, termasuk Rafizi, berhubung satu artikel yang mengaitkan syarikat itu dan pengasasnya dengan sindiket pengambilan pekerja asing.
Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd memohon untuk membatalkan saman tersebut, dengan Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan itu pada 26 Jun.