Tengku Zafrul keluar Umno, mahu sertai PKR

Tengku Zafrul keluar Umno, mahu sertai PKR

Surat peletakan keahlian dan jawatan telah dihantar kepada pucuk pimpinan Umno.

TENGKU ZAFRUL AZIZ
Tengku Zafrul Aziz yang bersama Umno sejak 1997 mengesahkan hasrat menyertai PKR.
PETALING JAYA:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz mengumumkan keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.

Tengku Zafrul berkata, surat peletakan keahlian Umno serta jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ketua Kota Raja telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, keputusan dibuat selepas bermuhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.

“Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk presiden sendiri (Zahid Hamidi),” katanya di Facebook.

Berkenaan hasrat menyertai PKR, Tengku Zafrul memaklumkan niat itu dinyatakan kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” katanya.

Tengku Zafrul, 51, bersama Umno sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor.

Dalam kerajaan, beliau pernah menjadi menteri kewangan bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 namun kalah kepada Dzulkefly Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun tewas beliau dilantik ke Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Spekulasi berkait kedudukan politik Tengku Zafrul sering dibangkitkan kebelakangan ini kerana tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat Disember.

Dalam pada itu, tidak lama selepas mengumumkan keluar Umno, Tengku Zafrul memaklumkan akan berlepas ke Tanah Suci.

Beliau mengadakan majlis doa selamat yang dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.