Mahkamah Rayuan dengar permohonan penangguhan interim Anwar pada Selasa

Mahkamah Rayuan dengar permohonan penangguhan interim Anwar pada Selasa

Peguam K Rajasegaran berkata tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar mahkamah petang tadi.

anwar ibrahim
Rabu lalu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk penangguhan interim perbicaraan saman sivil difailkan bekas pembantu penyelidik, Selasa depan, sementara menunggu keputusan rayuan.

Peguam K Rajasegaran yang mewakili Anwar, berkata tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar mahkamah petang tadi.

Rajasegaran berkata mahkamah turut menetapkan 21 Jul untuk mendengar permohonan penangguhan kekal perbicaraan itu sehingga keputusan rayuan Anwar mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan saman terbabit.

Anwar sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat boleh diberikan perlindungan daripada saman ‘remeh dan bermotifkan politik’ semasa memegang jawatan.

Dalam permohonan penangguhan difailkan semalam oleh Tetuan Zain Megat & Murad, peguam Anwar berhujah wujud keadaan istimewa untuk menangguhkan perbicaraan saman serangan fizikal. bermula di Mahkamah Tinggi pada 16 Jun.

Mereka berkata rayuan merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan akan menjadi tidak bermakna sekiranya perbicaraan diteruskan.

“Penangguhan di Mahkamah Tinggi amat penting dan perlu bagi memelihara prinsip keadilan, kesaksamaan dan integriti Perlembagaan,” katanya.

Tambahnya, penangguhan itu akan membolehkan persoalan perlembagaan yang kompleks dan berimpak tinggi ditentukan serta ditafsirkan sewajarnya.

Rabu lalu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar apabila beliau memutuskan kesemua lapan persoalan dikemukakan gagal melepasi ambang ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata tiada satu pun daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dihujahkan pasukan peguam Anwar menimbulkan persoalan undang-undang nyata, substantif dan boleh diadili yang memerlukan keputusan oleh mahkamah tertinggi.

Roz Mawar telah mengarahkan perbicaraan saman oleh Yusoff Rawther dimulakan pada 9 pagi, 16 Jun seperti dijadualkan.

Perdana menteri memohon mahkamah tertinggi untuk memutuskan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau imuniti bersyarat daripada saman yang difailkan Yusoff empat tahun lalu.

Saman itu berkaitan kejadian didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.

Yusoff mendakwa beliau diserang di rumah Anwar di Segambut pada Oktober 2018. Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta faedah, kos lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar menafikan dakwaan itu dan telah memfailkan saman balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.