‘Semua dah bentang ke Kabinet’, Fadhlina ulas sindiran Rafizi

‘Semua dah bentang ke Kabinet’, Fadhlina ulas sindiran Rafizi

Jumaat lalu, Rafizi Ramli sindir Kementerian Pendidikan yang didakwanya tiada kerangka dasar utama selepas lebih dua tahun.

Fadhlina Sidek nafi Kementerian Pendidikan tidak melakukan apa-apa seperti disindir oleh Rafizi Ramli.
GOMBAK:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan tidak timbul soal kementeriannya ‘tidak melakukan apa-apa’ sepanjang pentadbiran kerajaan perpaduan, menjawab sindiran bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, minggu lalu.

Beliau berkata semua reformasi dan dasar utama Kementerian Pendidikan (KPM) telah dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat Kabinet dengan pengetahuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Tidak ada satu pun kita terlepas daripada membentangkan soal-soal dasar utama (termasuk) reformasi-reformasi yang kita nak angkat di peringkat KPM.

“Jadi tidak timbul soal kita tidak melakukan apa-apa kerana semuanya dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” kata Fadhlina yang juga ketua wanita PKR kepada media selepas satu program.

Jumaat lalu, Rafizi, bekas timbalan presiden PKR menyindir KPM yang didakwanya tiada kerangka dasar utama selepas kerajaan perpaduan mentadbir Putrajaya selama lebih dua tahun.

Menerusi program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’, beliau membezakan pencapaiannya sebagai menteri ekonomi dengan mendakwa 80% perancangannya telah diluluskan Jemaah Menteri.

Beliau menyebut beberapa inisiatif besar dilaksanakannya, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13, peralihan tenaga, reformasi pasaran buruh, dasar gaji progresif, reformasi fiskal, subsidi bersasar dan inisiatif kerajaan digital.

Rafizi mengalihkan serangan terhadap KPM untuk menjawab kritikan terhadap tindakannya meletak jawatan selepas tewas pada pemilihan PKR kepada Nurul Izzah Anwar, bulan lalu.

“Saya kadang-kadang rasa geram. Kementerian Ekonomi ditanya macam-macam. Pergilah tanya Kementerian Pendidikan – sudah dua tahun setengah. Mana kerangka dasar utama? Tiada apa pun,” katanya.

Fadhlina mempertahankan jawatan ketua wanita selepas menewaskan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang juga sekutu Rafizi pada pemilihan PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.