Badan pimpinan Bersatu NS isytihar sokongan kepada Muhyiddin

Badan pimpinan Bersatu NS isytihar sokongan kepada Muhyiddin

Ketuanya, Hanifah Abu Baker kata sokongan sejajar keputusan yang dipersetujui dalam perhimpunan agung Bersatu 2024.

MUHYIDDIN YASSIN
Badan pimpinan Bersatu Negeri Sembilan isytihar sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Muhyiddin Yassin, menurut ketuanya Hanifah Abu Baker.
PETALING JAYA:
Badan pimpinan Bersatu Negeri Sembilan mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Muhyiddin Yassin, selepas akar umbi sebuah bahagian meluluskan usul mencadangkan peralihan kepimpinan nasional.

Ketuanya, Hanifah Abu Baker mengumumkan komitmen badan itu pada Muhyiddin untuk terus menerajui parti dalam menghadapi PRU16, mengatakan sokongan ini sejajar keputusan yang dipersetujui dalam perhimpunan agung Bersatu 2024.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan kepimpinan beliau dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan.

Persidangan tahunan Bersatu Port Dickson sebulat suara mengusulkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin mengambil alih kemudi parti daripada Muhyiddin, semalam.

Usul itu mencadangkan Hamzah sebagai ‘pemimpin barisan utama’, dan Naib Presiden Radzi Jidin untuk memimpin pengurusan parti.

Muhyiddin pula dicadangkan berperanan penasihat dan mentor.

Usul itu tidak secara langsung mencadangkan Hamzah menduduki kerusi presiden.

Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman, memberitahu FMT bahawa usul itu bukan bertujuan menolak kepimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin dan Hamzah masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober. Hal ehwal pentadbiran parti ketika ini diuruskan Setiausaha Agung Azmin Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.