Dasar jelas, konsisten faktor utama tarik FDI, kata Fahmi

Dasar jelas, konsisten faktor utama tarik FDI, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata pelabur asing yakin dasar-dasar ini tidak akan diubah secara sewenang-wenangnya.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Nadzirah Osman semasa sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di Rumah Malaysia di Geneva, semalam. (Gambar Bernama)
GENEVA:
Kejelasan dan kestabilan dasar, disokong oleh kestabilan politik menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur asing ke Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Rancangan Malaysia, Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan antara contoh dasar kerajaan yang jelas dan konsisten.

“Kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur. Mereka yakin bahawa dasar-dasar ini tidak akan diubah secara sewenang-wenangnya.

“Buktinya kita lihat angka-angka yang diumumkan sama ada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mahupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) membuktikan Malaysia terus menjadi negara yang sangat diminati oleh pelabur asing,” katanya.

Fahmi berkata demikian semasa sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di Rumah Malaysia semalam yang turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Geneva, Nadzirah Osman.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam kenyataan bulan lepas memaklumkan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025, peningkatan 3.7% tahun ke tahun meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Pada perjumpaan yang dihadiri kira-kira 50 tetamu terdiri daripada warga Malaysia yang bekerja di Switzerland, pelajar serta kakitangan Malawakil Malaysia di Geneva itu, Fahmi turut berkongsi kemajuan yang telah dicapai negara dalam sektor komunikasi.

“Malaysia merupakan antara 10 negara di dunia yang mempunyai harga internet paling murah dan Malaysia mempunyai internet kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan,” katanya.

Sementara itu, Nadzirah berkata pertemuan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Geneva untuk berinteraksi secara langsung dengan Fahmi serta mendengar perkembangan terbaharu yang berlaku di tanah air.

“Program hari ni memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Geneva untuk bertukar-tukar pandangan dengan menteri serta dapat juga mendengar sendiri perkembangan isu-isu terkini di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia Geneva, Syakira Ramli berkata pelbagai topik dibincangkan semasa pertemuan itu, termasuk bidang yang boleh dipertingkatkan Malaysia dengan mempelajarinya daripada Switzerland.

“Kita tahu bahawa Switzerland sangat kuat dan gigih dalam pentadbiran dan sentiasa mencapai teknologi terkini serta terus berkembang sebagai sebuah masyarakat, dan maju dalam kewangan, pendidikan mahupun infrastruktur,” katanya.

Bagi Malvyn Tan, Ketua Bahan Api Komersial di Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pertemuan itu memberi peluang kepada diaspora Malaysia untuk berkongsi maklum balas dan menyatakan pandangan mereka.

“Saya rasa Fahmi sangat terbuka dan menerima dan ini membuatkan kami sangat selesa untuk berkongsi pengalaman dan dia juga sangat terbuka dalam berkongsi perkembangan di Malaysia dan itu adalah sesuatu yang sangat saya alu-alukan,” katanya.

Fahmi kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20), yang diadakan di sini dari 7 hingga 11 Julai, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Madani untuk mengukuhkan ekosistem teknologi komunikasi negara yang inklusif sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.