DUN Selangor lulus pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam

DUN Selangor lulus pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam

Pindaan untuk memastikan pentadbiran Islam Selangor selaras pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah.

fahmi ngah
Exco Selangor Mohammad Fahmi Ngah berkata, Mais laksana libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk pengamal undang-undang dan jabatan berkaitan, dalam proses mewujudkan RUU itu. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
DUN Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pindaan itu bertujuan menjelaskan kriteria pelantikan anggota Mais selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

RUU melibatkan pindaan 10 fasal itu disokong sebulat suara selepas bacaan kali ketiga dan dibahaskan oleh enam ADUN pada sidang hari ini.

Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah ketika membentangkan RUU itu berkata, dengan pindaan itu, tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dicadangkan untuk dimasukkan sebagai tafsiran baharu dalam Enakmen No. 1/2003.

Katanya, dalam proses mewujudkan RUU itu, Mais telah melaksanakan sesi libat urus dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk pengamal undang-undang dan jabatan atau organisasi berkaitan.

“Antara pihak terlibat dalam pindaan ialah Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, ahli akademik dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata, pindaan itu juga dapat mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.

“Ia bagi memastikan pentadbiran Islam Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama,” katanya.

Beliau berkata, RUU itu juga sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Mac lepas yang menitahkan Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin supaya pindaan dilakukan dengan segera bagi memasukkan peruntukan berhubung kedudukan dan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi masyarakat Islam, terutamanya di Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.