Presiden NGO mengaku tak salah tohmah Mais

Presiden NGO mengaku tak salah tohmah Mais

Mohd Ridzuan Abdullah didakwa membuat tohmahan terhadap Mais yang mengaitkannya dengan bayaran tunggakan pembinaan masjid.

istana kehakiman Federal Court
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
PETALING JAYA:
Presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya atas tuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengaitkannya dengan bayaran tunggakan pembinaan masjid.

Berita Harian melaporkan Mohd Ridzuan Abdullah, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Ezrene Zakariah.

Aktivis dan ahli perniagaan itu didakwa membuat tohmahan yang akan merosakkan reputasi Mais di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya kira-kira 1 tengah hari 13 April lalu.

Dia didakwa menggunakan perkataan mengaitkan kontraktor, Mais dan masjid dengan tunggakan hutang, selain mempergunakan nama istana.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin, tetapi peguam T Ravindran merayu jumlah minimum kerana anak guamnya tiada pendapatan tetap dan hanya menjual produk kesihatan serta pernah dijangkiti virus Jun tahun lalu.

“Tertuduh perlu menyara keluarga bersama isteri yang juga suri rumah. Dia adalah bekas calon Parlimen Kuala Langat ketika PRU15 pada 2022, sekali gus menunjukkan dia akan memenuhi semua syarat ditetapkan mahkamah.”

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 22 Jun ini.

Pada 16 April lalu, Mais memaklumkan mahu mengambil tindakan, termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah di Subang.

Setiausaha Mais, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata demikian selepas tular video di TikTok mendakwa terdapat tunggakan bayaran dan salah urus dalam Mais.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.