
Chong bangun mencelah ketika Lo Khere Chiang (GPS–Batu Kitang) berucap. Pada waktu itu, Lo menuduh Chong dan Adun pembangkang Violet Yong (DAP-Pending) menentang usaha Sarawak meluaskan wakil negeri di Parlimen.
Ketika bertikam mulut, Speaker DUN Asfia Awang Nassar memberitahu Chong untuk duduk selepas Lo enggan memberi laluan kepadanya mengenai peraturan mesyuarat.
Asfia berkata, Lo hanya membalas hujah Chong yang sebelum ini menentang perluasan bilangan Adun.
Chong kemudian bertindak menghentak buku peraturan dewan di atas mejanya beberapa kali sambil menuntut diberikan ruang bercakap mengenai perkara peraturan mesyuarat. Asfia memintanya bertenang, namun Chong enggan patuh arahan tersebut.
“Jika anda berkelakuan begini, saya akan hantar anda keluar. Cukup, saya arahkan anda keluar,” kata speaker.
Bentara dewan diarahkan mengeluarkan Chong, secara paksa jika perlu. Chong kemudian mengemas barangnya dan keluar dari dewan.
Ketika dihubungi, Chong berkata tidak adil apabila seorang penyokong kerajaan dibenarkan membangkitkan peraturan mesyuarat dan kemudian menyerangnya dengan hujah berbaur kecaman.
Chong turut menafikan dakwaan Lo bahawa beliau enggan melihat penambahan wakil Sarawak di Parlimen.
Sidang DUN khas diadakan hari ini bagi membahaskan cadangan kerajaan meningkatkan jumlah kerusi DUN kepada 99, berbanding 82.
Terdahulu, Yong menyifatkan langkah itu sebagai tidak adil, mahal, dan bertujuan mengukuhkan sokongan kepada gabungan pemerintah.
Beliau juga menggambarkan cadangan berkenaan ‘gerrymandering diselindungkan sebagai reformasi’, sambil mendakwa kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak hanya menambah kerusi di kawasan yang mereka yakin boleh menang, bukannya di kawasan benar-benar memerlukan berdasarkan bilangan pengundi.
Chong turut membantah cadangan penambahan kerusi DUN, dengan berkata keluasan tanah Sarawak semata-mata tidak cukup membenarkan penambahan wakil rakyat.
Beliau berkata, nisbah pengundi kepada wakil rakyat yang dipilih di Sarawak sudah pun rendah dan masih boleh diurus berbanding kawasan besar lain, seperti di Australia.