
Peguam utama Lim Chee Wee berkata Najib telah, dalam keterangannya di bawah sumpah, memberikan pelbagai versi mengenai sumber dana yang masuk ke dalam akaunnya ketika disoal balas.
Dalam hujahan penutup perbicaraan SRC International, Lim berkata Najib telah, dalam suatu afidavit yang diikrarkan pada 2015, mendakwa bahawa ‘sumbangan peribadi’ berjumlah USD700 juta dan sejumlah RM42 juta yang berasal daripada SRC International disalurkan ke dalam akaunnya oleh Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd tanpa pengetahuannya.
“Beliau pada mulanya mengatakan bahawa afidavit itu ‘didraf secara teruk’, kemudian beliau mengatakan pengakuan itu berdasarkan ‘dakwaan pada masa itu’.
“Kemudian Najib berkata beliau telah dikelirukan dan menarik balik dengan berkata bahawa ia adalah maklumat yang diterima olehnya. Dan versi lain pula ialah beliau dikelirukan oleh laporan media,” kata Lim selepas pihak pembelaan menutup kes mereka.
SRC International menyaman Najib dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil kerana menerima harta syarikat secara salah, serta bersekongkol secara tidak jujur dan salah untuk menukar harta syarikat bagi kegunaan sendiri.
Penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Nik Faisal kerana tidak hadir.
Saman itu pada asalnya turut melibatkan bekas pengerusi Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, sebagai defendan bersama.
SRC International kemudian menarik balik kes terhadap mereka. Bagaimanapun, mereka ditambah sebagai pihak ketiga oleh Najib.
Lim juga berkata Najib tidak pernah memaklumkan Jemaah Menteri tentang RM42 juta yang didakwa diterimanya, dan beliau terus mengetuai keputusan yang melibatkan SRC International.
“Boleh dikatakan bahawa beliau bertindak bukan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok dengan peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan hujah pembelaan, diikuti peguam-peguam yang mewakili pihak ketiga.