
Kejadian dipercayai terbongkar selepas bayi terbabit dihantar ibu kandungnya sendiri ke Hospital Tampin dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Harian Metro yang memetik sumber melaporkan, pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami lebam pada perut, belakang badan dan pada lubang dubur bayi malang itu sebelum laporan polis dibuat.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu dibawa ibunya dari Tampin ke tempat kerja teman lelaki di Bandar Satelit, kira-kira 6.30 petang.
“Dia kemudiannya keluar untuk membeli makanan dan meninggalkan bayi dengan teman lelaki yang juga pemain muzik berusia 20 tahun,” katanya.
Wanita itu kemudiannya menidurkan anak tunggalnya itu pada 10 malam namun mendakwa mangsa tidak sedarkan diri ketika dikejutkan setengah jam kemudian untuk pulang ke rumah di Tampin.
“Mereka terus membawa mangsa ke hospital untuk rawatan pada 11 malam.
“Doktor kemudiannya mendapati mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia,” katanya.
Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Leow Kian Heong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Katanya, kedua-dua mereka akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.