
Dalam kejadian Jumaat pagi lalu, mangsa berusia 41 tahun ditemui berlumuran darah dengan kesan tetakan di leher, kepala dan kedua-dua mata, dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Tuaran, Noraidin Ag Maidin, berkata suspek 47 tahun ditahan di lokasi kejadian pada hari sama.
“Suspek warga tempatan dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan. Namun, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi boleh mengganggu siasatan dan diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan.