Warga emas terlepas tali gantung, bebas tuduhan bunuh adik ipar

Warga emas terlepas tali gantung, bebas tuduhan bunuh adik ipar

Mahkamah Rayuan ketepi sabitan dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Muhammad Johari Ng Abdullah.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hari ini bahawa sabitan tuduhan bunuh terhadap Muhammad Johari Ng Abdullah, 66, tidak selamat.
PUTRAJAYA:
Seorang warga emas terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh adik iparnya enam tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hashim Hamzah, Mohamed Zaini Mazlan dan Noorin Badaruddin membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan rayuan Muhammad Johari Ng Abdullah, 66, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Januari tahun lepas.

Hashim yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkata, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan semasa perbicaraan kes tersebut tidak cukup kukuh bagi mengekalkan sabitan.

“Oleh itu, kami mendapati sabitan tidak selamat … justeru, sabitan dan hukuman diketepikan dan rayuan perayu dibenarkan,” katanya.

Muhammad Johari, yang juga seorang bekas pengawal keselamatan, dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Nor Izzati Ghazali, 26, di sebuah unit apartment di Klang, Selangor pada 19 Feb 2019.

Pada prosiding hari ini, peguam Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Muhammad Johari berhujah, hakim perbicaraan gagal mempertimbang kemungkinan terdapat pihak lain terutama adik tiri mangsa terlibat dalam pembunuhan itu.

“Tiada kesimpulan kukuh bahawa perayu ialah individu yang menyebabkan kematian mangsa. Oleh itu, kami memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan beliau,” katanya, yang dibantu oleh Hilmi Zawawi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizal@Amrin Noor Hadi berhujah, hakim perbicaraan tidak terkhilaf dalam dapatannya dan memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman itu.

Mengikut fakta kes, seorang jiran membuat laporan polis mendakwa mangsa pernah mengadu bahawa dia dipukul serta didera oleh Muhammad Johari.

Bedah siasat mendapati mangsa mengalami 24 kecederaan di seluruh tubuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.