Bawa usul tak percaya di Parlimen, Anwar cabar pengkritik

Bawa usul tak percaya di Parlimen, Anwar cabar pengkritik

Anwar Ibrahim berkata jika tak cukup sokongan, pengkritik perlu tunggu pada pilihan raya umum.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim meminta kestabilan negara dikekalkan untuk melindungi dan perkembangan ekonomi. (Gambar Bernama)
SEBERANG PERAI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Beliau berkata, membina sesebuah negara mengambil masa, namun ‘meruntuhkannya amat mudah’.

“Saya tahu ada yang mahu jatuhkan kerajaan. Boleh, ikut proses.

“Bawa usul hilang kepercayaan di Parlimen. Jika tak cukup sokongan, tunggu pilihan raya. Jangan guna demonstrasi atau hasutan,” katanya pada sambutan Minggu Perpaduan Nasional di Stadium Batu Kawan hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pembangkang merancang satu perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai bagi mendesak peletakan jawatan perdana menteri.

Penganjur mendakwa mereka menjangkakan kehadiran sehingga 300,000 peserta, meningkat berbanding 50,000 orang disasarkan sebelum ini.

Anwar turut menggesa agar semua pihak berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap suara kebencian, termasuk daripada segelintir tokoh agama.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu terbabit.

“Ramai ulama ikhlas. Semalam saya bertemu ulama dari Indonesia, Maghribi, Syria, dan India — semuanya memberi nasihat yang baik.

“Malam ini dari Pulau Pinang, saya akan ke Masjid Putra di Putrajaya untuk menghadiri perhimpunan guru-guru agama. Saya mahu dengar pandangan mereka juga,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang aman di rantau ini, sambil menegaskan ia bukan hasil usahanya semata-mata, tetapi berkat kerjasama antara kementerian, penjawat awam dan pemimpin korporat.

“Kestabilan politik menarik pelaburan, dan pelaburan mendorong pertumbuhan ekonomi. Sebab itu ramai pemimpin dunia memilih Malaysia sebagai tempat berdialog,” katanya.

Beliau turut memaklumkan menteri luar dari Amerika Syarikat, China, Rusia serta pemimpin dari negara Teluk, Brazil dan Afrika Selatan telah menyatakan hasrat menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.