
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyemak keberadaan individu didakwa dalang skandal penyelewengan dana 1MDB itu dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya tidak dapat maklumat, kita belum dapat apa-apa maklumat. Saya dah baca (laporan media). Saya kena semak dengan menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar.
Anwar mengulas beberapa laporan media mengatakan Low, yang diburu pihak berkuasa antarabangsa, dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Pendedahan tersebut dibuat dua wartawan penyiasatan terkenal, yang sebelum ini membongkar skandal 1MDB, iaitu Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas ‘Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright’ pada Jumaat.
Skandal kewangan 1MDB yang merupakan antara terbesar dalam sejarah, melibatkan USD7.65 bilion (RM35 bilion).