
Dalam kenyataan, Anwar berkata beliau mengikuti perkembangan di Venezuela ‘dengan cukup kebimbangan’, dan menyifatkan operasi itu mempunyai ‘skop dan sifat luar biasa’ menyamai penggunaan kekerasan secara haram terhadap negara berdaulat.
“Presiden Maduro dan isteri mesti dibebaskan tanpa sebarang penangguhan tidak wajar,” katanya dengan memberi amaran tindakan penyingkiran paksa ke atas ketua kerajaan sedang berkhidmat oleh pihak luar menetapkan satu duluan berbahaya.
Anwar berkata, tindakan sedemikian menghakis kekangan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan menggugat kerangka perundangan yang menjadi asas tatanan antarabangsa.
Beliau menegaskan, masa depan politik Venezuela seharusnya ditentukan rakyatnya sendiri, selain menekankan sejarah menunjukkan perubahan kepimpinan secara mendadak melalui kekerasan luar, saban kali membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
“Terutamanya, bagi sebuah negara yang sememangnya bergelut dengan kesusahan ekonomi berpanjangan dan ketegangan sosial meruncing,” katanya.
Anwar menambah, Malaysia menganggap penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai asas penting hubungan aman antara negara, serta menyeru semua pihak untuk mengutamakan penglibatan membina, dialog, dan meredakan ketegangan.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian kekal sebagai haluan paling utuh ke arah penyelesaian melindungi orang awam dan membolehkan rakyat Venezuela mengorak aspirasi sah mereka tanpa sebarang kemudaratan lanjut.
Presiden AS Donald Trump menyatakan beliau meletakkan Venezuela di bawah kawalan sementara negaranya, selepas pihak AS menangkap Maduro dan isteri dalam serbuan nekad semalam, serta membawa mereka ke New York untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah.
“Kita akan mentadbir negara itu sehingga tiba masa di mana kami dapat melaksanakan peralihan yang selamat, wajar, dan bijaksana,” kata Trump pada sidang media, lapor Reuters.
Trump berkata, sebagai sebahagian daripada pengambilalihan itu, syarikat minyak utama AS akan masuk ke Venezuela, yang mempunyai simpanan minyak terbesar di dunia, untuk membaik pulih infrastruktur minyak yang mengalami kerosakan teruk.
Walaupun beliau tidak memberikan jawapan khusus kepada persoalan diajukan berulang kali mengenai bagaimana AS akan mentadbir Venezuela memandangkan kerajaan dan tenteranya masih berfungsi, Trump menyatakan, beliau terbuka menghantar tentera AS ke Venezuela.
“Kita tidak takut untuk hantar tentera ke lapangan,” katanya.
Perkembangan berkenaan menyaksikan kecaman meluas pemimpin dunia, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua negara menghormati undang-undang antarabangsa.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata Guterres menyuarakan kebimbangan mendalam kerana undang-undang antarabangsa tidak dihormati, dan menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu ‘duluan berbahaya’.