
Anwar menyifatkan situasi itu sebagai ‘membimbangkan’, memandangkan kedua-dua negara itu anggota penting blok 10 negara ASEAN serta rakan rapat Malaysia.
“Ini sesuatu membimbangkan. Kita telah menghantar mesej kepada kedua-dua perdana menteri, dan saya berharap dapat bercakap dengan mereka petang ini atau malam nanti,” katanya kepada pemberita.
“Saya telah mengadakan perbincangan awal bulan lalu dengan kedua-dua perdana menteri. Kita telah menghantar mesej dan saya menantikan perbualan dengan mereka tidak lama lagi.”
Malaysia kini mempengerusikan ASEAN, blok Asia Tenggara yang turut dianggotai Thailand dan Kemboja.
Anwar turut menyatakan harapan kedua-dua pihak dapat mengelakkan sebarang ketegangan yang lebih buruk.
“Sekurang-kurangnya kita berharap mereka berundur atau, lebih baik lagi, berunding. Mereka sudah membuat beberapa percubaan, tetapi saya rasa keamanan adalah satu-satunya pilihan yang ada.”
Ketika ditanya sama ada pertempuran itu boleh menjejaskan prospek perdagangan dan ekonomi ASEAN, beliau berkata terlalu awal untuk membuat penilaia.
“Kedua-duanya mengutamakan kepentingan negara masing-masing. Kedua-duanya mahukan penyelesaian secara damai dan baik terhadap konflik ini serta mahu ASEAN terus terlibat,” katanya.
Pertikaian wilayah yang telah lama berlarutan di kawasan dikenali sebagai Emerald Triangle, iaitu sempadan yang mempertemukan Thailand, Kemboja dan Laos, kembali tercetus pada Mei apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran.
Sejak itu, kedua-dua negara saling menuduh dan mengambil langkah balas, termasuk Thailand menyekat lintasan sempadan dan Kemboja menghentikan beberapa import.
Semalam, Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang dutanya sendiri selepas seorang askar Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api.
Kemboja membalas tindakan itu hari ini dengan menurunkan hubungan diplomatik dengan Bangkok ke tahap paling rendah.