Cadangan kembalikan keistimewaan bebas cukai Langkawi diteliti

Cadangan kembalikan keistimewaan bebas cukai Langkawi diteliti

Perdana menteri arah perkara ini dilihat secara keseluruhan bagi membantu Langkawi.

langkawi
Rokok dan produk tembakau disenaraikan sebagai barangan kena cukai di Langkawi sejak Jan 2021. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Kerajaan akan meneliti titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menyeru keistimewaan Langkawi sebagai kawasan bebas cukai dikembalikan bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu pernah dibangkitkan, berikutan permintaan pelbagai sektor.

“Saya sudah minta menteri kewangan II (Amir Hamzah Azizan) melihat keseluruhannya, di mana boleh dibantu semula kerana kos di Langkawi sudah agak tinggi dan ini dengan sendirinya tidak dapat menarik pelancong, termasuk domestik,” katanya kepada pemberita seusai solat Jumaat.

Sultan Sallehuddin pada Isnin bertitah pengurangan keistimewaan tersebut sebelum ini memberi kesan kepada daya tarikan Langkawi, dan mahu kerajaan pertimbang mengembalikan keistimewaan asal.

Titahnya, baginda difahamkan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.

Rokok dan produk tembakau disenaraikan sebagai barangan kena cukai di Langkawi dan di pulau bebas cukai lain sejak Jan 2021.

Tahun lalu, bagi menangani isu pemilik kenderaan mewah mengambil kesempatan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi, kerajaan mengehadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa Januari tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.