RM100 SARA, turun harga RON95 bukan gula-gula PRU, kata setpol PM

RM100 SARA, turun harga RON95 bukan gula-gula PRU, kata setpol PM

Shamsul Iskandar Md Akin berkata PRU tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana penggal kerajaan semasa hanya akan tamat pada 2027.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Md Akin membidas segelintir pihak memperlekeh dan mempolitikkan bantuan RM100 SARA dengan berkata, golongan memerlukan akan menganggapnya rahmat besar.
PETALING JAYA:
Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pengumuman ‘penghargaan khas’ kelmarin ialah langkah populis dan ‘gula-gula PRU’.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata, kajian dijalankan badan bebas menggambarkan populariti Anwar mencecah 58%, lebih tinggi daripada prestasi terdahulu.

Merdeka Center dalam kajiannya yang diterbitkan 23 Jun lalu mendapati 55% responden memberikan penarafan kelulusan kepada prestasi Anwar berbanding hanya 43% pada Jun 2024.

“Tak timbul soal nak popular dalam hal ini. Soalnya setelah dua tahun setengah mentadbir, apa yang nak dihidangkan kepada rakyat?

“Pengumuman itu hasil separuh penggal kerajaan. Kalau nak kata gula-gula PRU lambat lagi…tempoh kerajaan tamat 2027,” kata Shamsul dalam temu bual bersama TV AlHijrah malam tadi.

Kelmarin, Anwar mengumumkan bantuan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali beri melalui MyKad kepada 22 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas sempena Hari Kebangsaan.

Beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 ketika ini kepada RM1.99 seliter, menerusi subsidi bersasar yang perinciannya bakal diumumkan menjelang akhir September ini.

Susulan itu, beberapa pemimpin pembangkang menyindir pemgumuman itu kecil dan tidak sepadan ‘teater’.

Shamsul membidas segelintir pihak memperlekeh dan mempolitikkan bantuan RM100 SARA dengan berkata, golongan memerlukan akan menganggapnya rahmat besar.

Beliau berkata, semua pihak perlu memahami pendekatan subsidi silang petrol RON95, yang disifatkannya penting untuk memastikan hanya golongan layak dapat menikmatinya.

“Yang tak layak ialah mereka yang berpendapatan lebih atau warga asing. Maka, perbelanjaan golongan ini dapat menampung pengurangan 6 sen itu.

“Kalau tak turun harga (RON95) akan dimomok dalam media sosial. Bila umum (turun) ada pula perspektif dan serangan lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.