
Presiden Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan berpendapat janji pilihan raya dilontarkan Presiden Warisan Shafie Apdal itu mungkin mengakibatkan implikasi kewangan yang besar dan memerlukan kajian sebaiknya.
Beliau sebaliknya berpandangan bantuan bersasar lebih praktikal dengan keutamaan kepada golongan memerlukan atau subsidi 50% daripada pinjaman.
“Kalau terus hapuskan (pinjaman pendidikan), itu sesuatu amat mustahil dan perlu dikaji dengan baik pelaksanaannya,” katanya kepada FMT yang berpandangan perbelanjaan kerajaan negeri harus memberi manfaat kepada majoriti rakyat.

“Kalau hanya tumpu peminjam PTPTN berapa peratus sahaja manfaatnya berbanding isu air dan jalan yang penerima manfaat lebih menyeluruh.”
Beliau mengulas pengumuman Shafie minggu lalu yang Warisan akan menghapuskan baki pinjaman pelajaran tertunggak diambil anak Sabah dan melaksanakan pendidikan percuma, sekiranya parti itu membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Tawaran dikemukakan meliputi mereka yang mengambil pinjaman pelajaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) manakala pelaksanaan pendidikan percuma menerusi pengukuhan Yayasan Sabah.
Adun Kunak Norazlinah Arif pula mengingatkan rakyat supaya sedar dengan tindakan Warisan yang hanya tahu berjanji bulan dan bintang untuk mendapatkan kuasa.

“Janji sangat tidak realistik, bagaimana yang sudah bayar atau meminjam dengan agensi lain seperti Majis Amanah Rakyat (Mara)?.
“Harap rakyat sedar kerana Warisan sebelum berkuasa memang akan berjanji bulan bintang, sanggup mempermainkan isu rakyat demi kuasa,” katanya.
Janji pilihan raya berkenaan turut dibidas Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Nizam Abu Bakar Titingan yang meminta rakyat negeri itu tidak diperdaya retorik Warisan.
Beliau dipetik berkata kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor tidak menjanjikan mimpi namun fokus menunjukkan hasil kepada rakyat.
Pembantu menteri kepada ketua menteri itu berkata antara bantuan membuka lebih banyak peluang ke menara gading telah disalurkan termasuk Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk anak Sabah dari keluarga B40 dan Dermasiswa Sabah Maju Jaya.