Dakwa RMK13 ketepi Bumiputera, Awang tandus idea, kata Fahmi

Dakwa RMK13 ketepi Bumiputera, Awang tandus idea, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan perpaduan berkata, inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan digunakan sebagai dokumen dasar dalam RMK13.

Fahmi Fadzil berkata, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim ketandusan idea, lalu hanya mampu ‘menakut-nakutkan’ rakyat.
PETALING JAYA:
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menafikan dakwaan wakil rakyat pembangkang kononnya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengetepikan Bumiputera.

Fahmi berkata, dakwaan sedemikian menunjukkan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim ketandusan idea, hanya mampu ‘menakut-nakutkan’ rakyat.

Beliau menegaskan, inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan digunakan sebagai dokumen dasar dalam RMK13 bagi memastikan aspek pendidikan, peluang pekerjaan dan pemilikan aset dan ekuiti tidak diketepikan.

“Isunya ialah pelaksanaan. Kita nak elakkan keadaan harta terkumpul di satu kelompok, pada masa sama juga memastikan kumpulan Bumiputera seramai mungkin mendapat manfaat,” katanya dalam episod audio siar ‘Hello Malaysia’ yang dimuat naik malam ini.

“Maka saya tak lihat ada kaitan aspek hanya mengutamakan misalnya Kampung Baru Cina. Orang yang mengajukan hujah itu ketandusan idea..dia cuma boleh menakut-nakutkan, sebab alternatifnya ialah dia kekal dlm pembangkang. (Jadi) itu je dia boleh buat … cuba momokkan.”

Pada Isnin, dilaporkan Dewan Rakyat kecoh selepas Awang menyebut rusuhan kaum 13 Mei 1969 sebagai peringatan kepada kerajaan.

Ketika menyentuh rancangan khusus buat Kampung Baru Cina dalam RMK13, Awang bertanya mengapa tiada sebarang pelan khusus buat Bumiputera.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang tidak puas hati dengan kenyataan tersebut meminta Timbalan Speaker Alice Lau mengarahkan Awang menariknya balik, namun Lau sebaliknya mencadangkan Rayer supaya mengemukakan usul.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian memaklumkan akan membuat keputusan sama ada wakil rakyat PAS itu akan dikenakan tindakan atau sebaliknya kerana menyentuh rusuhan kaum 13 Mei di dalam Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.